Sambutan menggalakkan di Program Jelajah GRS Limbahau, Armizan yakin kemenangan calon GRS

LIMBAHAU, PAPAR, 23 November 2025 – Suasana kempen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memuncak apabila Program Jelajah GRS di PDM Limbahau malam tadi mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, melahirkan rasa terharu dengan kehadiran dan sambutan positif warga Limbahau yang hadir beramai-ramai.

“Kehadiran serta sambutan positif warga Limbahau malam ini memberikan gambaran jelas bahawa masyarakat di sini mendambakan pemimpin yang mampu membawa perubahan sebenar,” ujarnya dalam kenyataan di media sosial selepas program.

Armizan berkata, beliau sendiri merasai gelombang keyakinan dan harapan penduduk yang mahukan calon GRS, Datuk Nuil Juatim terus diberi mandat untuk mewakili suara rakyat kawasan itu.

“Berdasarkan rekod prestasi kepimpinan beliau pada penggal lalu yang telah membawa pelbagai kemajuan dan kesejahteraan di DUN Limbahau, saya amat yakin Datuk Nuil Juatim adalah calon terbaik dan paling sesuai untuk terus berganding bahu memacu agenda pembangunan yang diinginkan oleh seluruh warga Papar,” tegas Armizan.

Beliau menyeru seluruh pengundi di Limbahau supaya bersama-sama memastikan kemenangan GRS pada pilihan raya akan datang dengan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga”.

Program jelajah GRS di Limbahau itu merupakan sebahagian daripada siri kempen intensif yang sedang giat dijalankan di seluruh kawasan Parlimen Papar menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top