MAROTAI November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, hari ini meluahkan rasa terharu selepas menerima kata-kata semangat dan kepercayaan penuh daripada Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosialnya, Datuk Ruji berkongsi bahawa Saifuddin Nasution mengenali rapat perjalanan kerjayanya sejak dahulu, termasuk saat-saat genting ketika beliau terpaksa menyelesaikan pelbagai isu masyarakat sehingga ke peringkat tertinggi kerajaan.
“Kepercayaan yang disuarakan YB DSP Saifuddin Nasution benar-benar menyentuh hati. Beliau mengingatkan saya kepada pengalaman dan kemahiran yang telah saya bina sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,” tulis Datuk Ruji.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri itu menegaskan bahawa segala pengalaman tersebut bukan sekadar gelaran, sebaliknya tanggungjawab besar yang akan digalasnya sebagai jambatan langsung antara rakyat Merotai dengan peringkat persekutuan.
“Saya bersedia menjadi jambatan yang menghubungkan suara masyarakat terus ke peringkat persekutuan. Itu komitmen saya,” tegasnya lagi.
Datuk Ruji turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saifuddin Nasution atas dorongan dan keyakinan yang diberikan, yang disifatkan sebagai “penguat semangat” untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti dan kesungguhan.
Sokongan terbuka daripada seorang Menteri Kabinet PH ini dilihat sebagai petanda kukuh kepercayaan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan terhadap kemampuan Datuk Ruji Ubi untuk memenangi kerusi DUN Merotai pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang semakin hampir.
Kawasan Merotai yang majoriti penduduknya terdiri daripada komuniti Bumiputera Islam dan Melayu ini dijangka menyaksikan pertandingan sengit, dan sokongan figura kanan kerajaan persekutuan seperti Saifuddin Nasution mampu menjadi pemangkin besar kepada kempen Datuk Ruji Ubi.

