KOTA KINABALU, 22 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, Jannie Lasimbang, malam tadi mengadakan majlis “Dengan Singa Bersaudara” di Kapayan yang menyaksikan persembahan tarian singa dan naga yang memukau daripada tiga pasukan terkenal Sabah:
– Kelab Tarian Singa San Sheng Gong (Hong Teck) Kota Kinabalu
– Persatuan Tarian Singa & Naga (Subang) Penampang
– Persatuan Tarian Singa dan Naga Keong Fatt Sabah
Dalam catatan panjang di media sosialnya, Jannie menegaskan bahawa kemajmukan dan keharmonian merupakan kekuatan paling berharga di Kapayan.
“Sepanjang 7–8 tahun turun padang, saya banyak belajar daripada pelbagai kaum dan semakin memahami nilai budaya majmuk Sabah,” ujarnya.
Beliau yang berbangsa Kadazan ini turut berkongsi pengalaman peribadi sejak menyertai DAP pada tahun 2017, di mana beliau diamanahkan menguruskan sambutan Tahun Baru Cina walaupun bahasa Mandarinnya tidak fasih.
“Bahasa bukan halangan kerana masa depan yang kita kejar adalah sama,” tegas Jannie.
Setiap tahun, beliau menggerakkan lima sambutan budaya utama di Kapayan iaitu:
– Tahun Baru Cina
– Hari Raya Aidilfitri
– Pesta Tanglung (Mid-Autumn)
– Krismas
– Pesta Kaamatan
“Melihat anak muda berani menyanyi lagu Cina, lagu Kadazan, malah menyanyikan Original Sabahan dalam pertandingan Hakka peringkat kebangsaan, benar-benar menyentuh hati saya. Inilah keindahan Sabah – berbilang kaum namun harmoni,” tambahnya.
Jannie turut menyentuh sokongan berterusan Kerajaan Negeri Sabah terhadap pemeliharaan budaya pelbagai kaum, termasuk:
– Sumbangan kepala singa setiap tahun
– Peruntukan RM70 juta kepada badan keagamaan dan budaya bukan Islam, tokong, sekolah Cina serta persatuan
“Kapayan dan Penampang adalah nadi masyarakat Kadazan, tetapi juga rumah kepada komuniti Cina, Melayu dan semua kaum lain. Saya akan terus mempertahankan semangat harmoni ini agar kita semua dapat hidup selamat dan membesar bersama di sini,” janjinya.
Beliau menamatkan catatan dengan ucapan terima kasih atas kepercayaan penduduk sepanjang ini serta seruan kempen: “Kapayan, 10号。Mari kita terus maju bersama.”
Acara malam tadi dihadiri ratusan penduduk pelbagai kaum yang kelihatan menikmati suasana meriah sambil meraikan kekayaan budaya Sabah.

