MEROTAI, 23 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, hari ini melawat Kampung Pengkalan Asli bagi mendengar sendiri suara dan harapan penduduk setempat, terutama golongan belia serta ibu bapa mengenai masa depan anak-anak dan keluarga mereka.
Dalam kunjungan itu, Datuk Ruji yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri menegaskan bahawa Merotai adalah amanah yang sedang diperjuangkannya dengan penuh komitmen.
“Jika diberi kepercayaan oleh rakyat, inilah kawasan yang akan saya pacukan dengan pembangunan nyata — pembangunan yang tidak lagi sekadar janji, tetapi dapat dilaksanakan dengan pengalaman yang telah saya bawa sekian lama,” ujar beliau ketika beramah mesra dengan penduduk kampung.
Datuk Ruji turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Liew dengan menyatakan, “Kemenangan saya juga adalah kemenangan kepada Tan Sri Liew,” sambil menekankan bahawa perjuangan ini adalah kesinambungan usaha bersama demi kemajuan seluruh masyarakat Merotai.
Beliau berjanji akan terus mendengar setiap suara rakyat kerana setiap pandangan yang dikongsi menguatkan lagi tekadnya untuk bekerja lebih keras.
“Bersama kita buka lembaran baharu untuk Merotai — lebih lengkap, lebih hidup, lebih membina masa depan,” tegas Datuk Ruji sebelum mengakhiri lawatan tersebut.
Lawatan ke Kampung Pengkalan Asli ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah beliau yang giat mendekati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah pada Sabtu akan datang.

