MEROTAI, TAWAU, 20 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, menyeru belia dan warga tempatan agar menggunakan kuasa mengundi mereka pada 29 November ini untuk menentukan masa depan kawasan tersebut, bukannya sekadar memilih “seorang YB”.
Dalam ucapan pada Program Malam Santai Belia di Merotai malam tadi, Datuk Ruji yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri menegaskan bahawa pilihan anak muda akan membentuk hala tuju Merotai untuk generasi akan datang.

“29 November ini, kuasa sebenar ada di tangan anak muda. Pilihan anda akan menentukan masa depan Merotai, bukan masa depan seorang YB,” tegasnya sambil disambut sorakan hadirin.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan tentang kepentingan menyediakan ruang riadah dan kemudahan sukan yang mencukupi bagi golongan belia. Beliau berkata, kekurangan kemudahan sebegini sering menjadi punca peningkatan gejala sosial di kalangan anak muda.
Menjawab isu tersebut, Datuk Ruji memberikan komitmen tegas: jika diberi amanah, lokasi program malam tadi akan diubah suai menjadi pusat aktiviti anak muda yang lengkap – tempat mereka boleh berkumpul, berlatih sukan, dan membangunkan bakat masing-masing.
“Saya komited, jika diberi amanah, lokasi kita berhimpun semalam akan dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti anak muda,” janjinya.
Datuk Ruji turut memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan pembangunan Sabah pada tahun hadapan. Namun, tegasnya, sebelum wang itu sampai ke tangan rakyat, Merotai memerlukan wakil rakyat yang benar-benar bekerja keras.
“Saya bukan posmen yang sekadar menyampaikan aduan. Bahkan dalam empat bulan sebelum kempen bermula, beberapa isu yang disuarakan penduduk sudah saya selesaikan dengan menggunakan pengalaman dan kebolehan yang saya ada,” katanya.
Beliau seterusnya memohon sokongan padu daripada seluruh warga Merotai agar diberi peluang untuk terus berkhidmat dengan lebih berkesan.
Program yang dihadiri ratusan belia dan penduduk tempatan itu berakhir dengan ucapan terima kasih Datuk Ruji kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution serta semua pihak yang menjayakan majlis.
“Semoga usaha ini menjadi titik mula pembaharuan yang lebih besar untuk Merotai,” tutupnya.
Pilihan raya kecil DUN Merotai akan diadakan pada 29 November ini berikutan kekosongan kerusi selepas penyandang sebelum ini dilucutkan keahlian.
