Datuk Ruji gesa kerjasama rentas parti demi pembangunan kawasan

MEROTAI, 20 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, menegaskan bahawa pembangunan kawasan Merotai mesti diletakkan mengatasi kepentingan politik peribadi, sambil menyeru kepada perubahan selepas “dua penggal yang sukar”.

Dalam satu hantaran media sosial hari ini, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri itu berkongsi gambar dan video sesi sarapan pagi bersama tiga tokoh berpengaruh di Merotai: Ketua Masyarakat Datuk Seri Saifuddin, Tan Sri Liew dan Cikgu Jai.

“Mereka bertiga inilah kekuatan yang sentiasa berada di sisi saya — memberi nasihat, sokongan dan toleransi demi kemajuan Merotai. Saya amat menghargainya,” tulis Datuk Ruji.

Dalam ucapan ringkas semasa majlis itu, Tan Sri Liew dilaporkan berkata: “Kalau ikut nafsu saya, saya pilih berlawan. Tapi kalau fikir untuk kepentingan kerja, saya pilih kerjasama.”

Datuk Ruji seterusnya menekankan bahawa kerjasama antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah perkara baharu, tetapi beliau mahu membawa Merotai ke tahap lebih baik dengan memanfaatkan pengalaman serta saluran yang dimilikinya, khususnya dalam menyelesaikan isu kad pengenalan (IC) dan dokumentasi anak-anak kampung.

“Isu IC dan dokumentasi anak-anak kampung kita — satu keperluan mendesak yang hanya boleh diselesaikan melalui pemimpin yang ada laluan, kefahaman dan keupayaan untuk bertindak,” tegasnya.

Beliau turut mengakui usaha wakil rakyat terdahulu, namun menegaskan: “Yang penting, pembangunan Merotai mesti bergerak ke depan. Kita sudah melalui dua penggal yang sukar. Sudah tiba masanya kita pilih perubahan.”

“Kita mahu pembangunan yang dapat dirasa oleh kampung-kampung kita sendiri,” tambah Datuk Ruji.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top