PAPAR, SABAH 22 November 2025 – Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menyifatkan sambutan hangat penduduk tempatan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai petanda sokongan kukuh menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah) pada 29 November ini.
Beliau yang baru mendarat di Kota Kinabalu dari luar negeri, terus bergegas ke kawasan Papar bagi menghadiri Program Santai bersama PAPARian Mukim Bandar Papar, anjuran bersama GRS PDM Pekan pada Sabtu lalu (22 November).

“Sambutan hangat dan sokongan daripada warga PAPAR di sini benar-benar menyuntik semangat dan menandakan sokongan utuh terhadap GRS,” kata Armizan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosialnya.
Dalam program berkenaan, Armizan turut memberikan ruang kepada calon GRS bagi kerusi DUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir, untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk, mendengar pandangan serta menyantuni mereka yang hadir.
Armizan melahirkan keyakinan penuh terhadap Pengiran Saifuddin sebagai calon paling sesuai untuk DUN Pantai Manis, berdasarkan latar belakang profesional, pengalaman luas dalam kepimpinan dan kemasyarakatan, serta keperibadiannya yang mesra rakyat.

“Dengan latar belakang profesional, pengalaman luas dalam kepimpinan dan kemasyarakatan serta keperibadiannya, saya yakin beliau adalah calon paling tepat untuk menerajui DUN Pantai Manis membawa kemajuan yang kita dambakan,” tegasnya.
Beliau menambah, sekiranya diberi mandat oleh rakyat Papar pada PRU DU Sabah nanti, GRS bersedia membentuk gandingan kukuh untuk mencari ikhtiar terbaik demi kemajuan Papar.
“Insha Allah, sekiranya diberikan mandat oleh para penduduk Papar, kami bersedia membentuk gandingan bersama mencari ikhtiar yang terbaik untuk kemajuan Papar,” ujar Armizan.
Kerusi DUN Pantai Manis menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, dengan Pengiran Saifuddin mewakili GRS, antara lain menentang calon dari BN, Warisan, PN, STAR Sabah, KDM dan PIS. Pada PRN 2020, kerusi ini dimenangi calon BN dengan majoriti tipis 686 undi.
Kempen GRS di Papar semakin rancak, dengan pendekatan dari rumah ke rumah dan program santai seperti ini dilihat mampu mendekatkan calon dengan pengundi menjelang hari pengundian pada 29 November depan.
