KOTA KINABALU, 24 November 2025 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali malam tadi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bersama sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis bagi Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru.
Mesyuarat yang berlangsung di Kota Kinabalu itu menumpukan perbincangan untuk memperkemas strategi kempen serta memperkukuh gerak kerja jentera bagi memastikan momentum terbaik dapat dikekalkan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Di akhir mesyuarat, Armizan secara rasmi memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin.
“Beliau adalah calon yang memiliki komitmen tinggi, pengalaman luas serta rekod khidmat yang terbukti. Saya yakin Datuk Chan Foong Hin mampu membawa suara rakyat Tanjung Aru dan menterjemahkannya kepada tindakan serta hasil yang nyata,” kata Armizan dalam kenyataannya.
Sebelum itu, Armizan turut meluangkan masa bersantai dan menyantuni masyarakat di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu.
Kehadiran beliau dalam mesyuarat jentera PGRS itu menunjukkan sokongan padu Kerajaan Perpaduan terhadap calon Pakatan Harapan di kerusi Tanjung Aru pada PRN Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

