Calon PH Merotai cadang Van Bergerak Pejabat Aduan, janji bawa lampu solar tingkatkan keselamatan kampung

Kg Kijang, Tawau 24 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, hari ini mengumumkan salah satu janji utama dalam manifestonya, iaitu mewujudkan van bergerak yang berfungsi sebagai pejabat aduan mudah alih untuk setiap kampung di kawasan tersebut.

Pengumuman itu dibuat semasa sesi ceramah kelompok di Kampung Kijang petang tadi, di mana beliau turut berinteraksi secara langsung dengan penduduk setempat.

“Van bergerak ini akan menjadi pejabat aduan bergerak yang akan datang terus ke kampung-kampung. Penduduk tidak perlu lagi datang jauh ke pejabat atau bandar untuk membuat aduan. Setiap isu akan dikumpul dengan lebih teratur dan ditangani secepat mungkin,” jelas Datuk Ruji yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Dalam perbincangan terbuka itu, penduduk Kampung Kijang banyak menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan malam hari akibat kekurangan lampu jalan. Mereka memohon pemasangan lampu solar di seluruh kawasan kampung bagi mengurangkan risiko jenayah dan kemalangan.

Menjawab permintaan itu, Datuk Ruji menegaskan bahawa terdapat pelbagai skim kerajaan seperti lampu solar yang boleh dimanfaatkan, namun memerlukan wakil rakyat yang proaktif untuk menguruskan permohonan dan memastikan peruntukan sampai kepada kampung yang memerlukan.

“Banyak inisiatif kerajaan yang sudah ada, tapi ia perlukan wakil rakyat yang arif, yang tahu cara memohon dan menyelaras supaya kampung kita tidak ketinggalan. Insha Allah, ini antara fokus utama saya sekiranya diberi kepercayaan memimpin Merotai nanti,” tegas beliau lagi.

Turut hadir dalam program itu ialah para penyokong Pakatan Harapan tempatan serta penduduk dari beberapa buah kampung berhampiran.

Kawasan DUN Merotai yang merangkumi beberapa kampung pedalaman di daerah Tawau ini sering menghadapi isu infrastruktur asas, dan janji-janji seperti ini dilihat mampu menarik perhatian pengundi menjelang pilihan raya negeri Sabah yang dijangka tidak lama lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top