Armizan cabar dakwaan Warisan jayakan 17/21 tuntutan MA63

PAPAR,  SABAH 23 November 2025 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyanggah dakwaan Parti Warisan yang mendakwa berjaya menjayakan 17 daripada 21 tuntutan Malaysia Agreement 1963 (MA63) semasa parti itu memerintah Sabah dan mempunyai pengaruh di peringkat Persekutuan antara 2018 hingga 2020.

Dalam satu kenyataan panjang yang dimuat naik di laman media sosialnya hari ini, Armizan yang pernah memimpin Urusetia Khas MA63 di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri dari Disember 2022 hingga Disember 2023, menegaskan tiada rekod rasmi dalam dokumen urusetia yang menunjukkan 17 perkara MA63 telah selesai sepenuhnya di bawah pentadbiran Warisan.

“Saya pernah bangkitkan persoalan ini kepada Warisan pada tahun 2023 dan akhirnya respon Presiden Warisan (Datuk Seri Panglima Shafie Apdal) – belum selesai, tapi telah dipersetujui. Kini menjelang pilihan raya, mereka kembali bermodalkan ‘kejayaan 17/21’ MA63,” katanya.

Armizan menjelaskan, dalam tadbir urus kerajaan, frasa seperti “persetujuan secara prinsip” atau “kelulusan dasar” tidak semestinya bermakna sesuatu tuntutan telah diluluskan sepenuhnya dan dilaksanakan.

“Berjaya membangkitkan tidak sama dengan berjaya memastikan diluluskan dan dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau turut mencabar Warisan menyenaraikan secara terperinci 17 perkara yang didakwa berjaya itu, sambil menambah beliau hanya pernah mendengar dua perkara yang disebut Warisan dan fakta sebenar tidak seperti yang diuar-uarkan.

Menyentuh prestasi dirinya sebagai ketua urusetia MA63 selama setahun, Armizan berkata walaupun ada pihak mendakwa beliau gagal, namun dalam tempoh itu sebanyak lima (5) perkara MA63 telah dibincangkan, dipersetujui dan dilaksanakan melalui pelbagai instrumen rasmi.

“Fakta bukan auta,” katanya ringkas.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menyeru rakyat Sabah memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya akan datang dengan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga”.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top