MEROTAI, 23 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, hari ini meneruskan jelajah kempennya dengan menyantuni penduduk di empat kampung iaitu Kampung Pangkalan Asli, Kampung Nipah Bombalai, Kampung Hj Matahir dan Kampung Pagar Indah.
Dalam setiap hentian, Datuk Ruji yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mendengar pelbagai cerita daripada penduduk setempat, namun mendapati harapan mereka adalah sama – mahukan perubahan yang benar-benar terasa di peringkat kampung.
“Saya sempat berpesan tadi, ‘Tinggal 5 hari lagi untuk mengundi, jangan sampai rugi 5 tahun lagi.’ Setiap janji pembangunan, setiap masalah yang bertahun-tahun tak selesai, setiap suara yang minta didengar, semua bergantung pada keputusan lima hari terakhir ini,” ujar beliau dalam catatan media sosialnya.
Beliau menekankan bahawa aktiviti turun padang ini bukan sekadar berkempen, tetapi untuk mendengar, mencatat dan memastikan suara penduduk kampung didengar sepenuhnya.
“Kita turun bukan sekadar berkempen, tetapi mendengar, mencatat, dan memastikan suara kampung didengar. Masa depan kampung kita bergerak bila kita yang memilih untuk bergerak,” tambah Datuk Ruji.
Jelajah ini merupakan sebahagian daripada usaha gigih calon PH untuk mendekati pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang bakal berlangsung pada 29 November.

