MEROTAI, SABAH 21 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, menyifatkan kerjasama antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai “gabungan tekad” yang bukan sekadar politik biasa, tetapi usaha bersama untuk memastikan kawasan Merotai tidak lagi tertinggal.
Dalam satu posting di platform media sosialnya hari ini, Datuk Ruji yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkongsikan gambar suasana mesra bersama penyokong GRS dan figura popular tempatan, Cikgu Jai.
“Suai mesra bersama Cikgu Jai dan para penyokong GRS. Terima kasih atas sokongan yang begitu bermakna. Saya sedar bukan mudah untuk kita melangkah bersama, tetapi demi Merotai, pembaharuan itu perlu — dan keberanian untuk berubah datang daripada keikhlasan kita semua,” tulis Datuk Ruji.
Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan PH pada PRU akan datang juga merupakan kemenangan buat GRS.
“Kemenangan PH juga adalah kemenangan GRS. Kerjasama ini bukan sekadar gabungan parti, tetapi gabungan tekad untuk membawa suara rakyat dan memastikan Merotai tidak lagi tertinggal,” tambahnya.
Datuk Ruji yang bertanding atas tiket PH di kerusi majoriti Melayu-Bugis ini kelihatan semakin yakin dengan sokongan merentas parti.
“InsyaAllah, dengan semangat kebersamaan ini, kita dapat membawa perubahan yang lebih baik dan lebih mampan untuk seluruh Merotai,” tegasnya lagi.
Perkembangan ini dijangka memperkuatkan lagi kedudukan PH di kawasan pedalaman Tawau, di mana sokongan GRS masih kuat sejak penubuhannya. Penganalisis politik tempatan melihat langkah ini sebagai strategi bijak untuk merapatkan jurang antara kerajaan perpaduan peringkat Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah.

