Kapayan, Sabah 20 November 2025 –
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Kapayan, Jannie Lasimbang, melancarkan Manifesto Kapayan yang dibina khusus untuk memenuhi keperluan dan harapan penduduk kawasan tersebut.
Manifesto yang diberi nama “Manifesto Kapayan” itu dibangunkan berasaskan enam tonggak utama, iaitu:
1. Pembangunan belia
2. Pengukuhan ekonomi rakyat
3. Komuniti yang bijak dan sihat
4. Bantuan kos sara hidup
5. Penjagaan alam sekitar
6. Kepimpinan yang amanah dan inklusif
Menurut Jannie, setiap tonggak ini lahir daripada pengalaman dan realiti kehidupan seharian masyarakat Kapayan sendiri.
“Manifesto ini datang daripada ibu tunggal yang berjuang seorang diri, anak muda yang mencari ruang dan peluang, warga emas yang memerlukan perhatian lebih, serta seluruh komuniti yang mahu dilayan dengan adil dan hormat,” jelasnya dalam kenyataan yang disiarkan selepas majlis pelancaran manifesto berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa perjalanan untuk merealisasikan janji-janji ini tidak akan mudah, tetapi keyakinannya tetap tinggi selagi rakyat Kapayan bersama-sama memperjuangkannya.
“Saya tahu perjalanan ini bukan mudah, tetapi saya percaya kita boleh mencapainya jika kita lakukannya bersama,” ujar Jannie penuh semangat.
Jannie turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Kapayan atas kepercayaan yang terus diberikan.
“Terima kasih, Kapayan, kerana terus memberi kepercayaan dan menjadi nadi perjuangan saya,” katanya mengakhiri kenyataan.
Pelancaran manifesto ini merupakan antara aktiviti kempen utama Jannie Lasimbang menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang semakin hampir. Beliau akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai lapisan masyarakat Kapayan dalam minggu-minggu mendatang bagi memastikan suara rakyat terus didengar dan diutamakan.

