Merotai, Sabah – 20 November 2025 –
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengakhiri pusingan pertama jelajah kempennya di Sabah dengan mengadakan pertemuan mesra bersama pimpinan masyarakat di Merotai, Tawau. Program yang diadakan di kawasan N.72 Merotai itu turut dihadiri oleh barisan pemimpin kanan tempatan termasuk Tan Sri Liew Yun Fah, Datuk Hajjah Hamisa Samat, Cikgu Jai Moni, Ketua-ketua Kampung, Ketua Adat serta pemimpin-pemimpin setempat.
Dalam pertemuan itu, Tan Sri Liew Yun Fah dan Datuk Hajjah Hamisa – yang kedua-duanya pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai – serta Cikgu Jai yang merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Merotai, secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi tersebut, Datuk Ruji Ubi.
“Saya amat menghargai kehadiran dan sokongan yang diberikan oleh Tan Sri Liew, Datuk Hajjah Hamisa serta Cikgu Jai. Ini menjadi suntikan semangat yang besar buat seluruh jentera kempen kami,” kata Saifuddin Nasution dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas program berkenaan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR menyifatkan kawasan Merotai sebagai salah satu kerusi “panas” yang dijangka mampu disumbangkan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
“N.72 Merotai adalah antara kawasan yang kita optimis mampu menyumbang kemenangan penting kepada Pakatan Harapan, selain kerusi-kerusi lain yang turut ditandingi,” tegasnya.
Saifuddin turut menekankan komitmen PH untuk terus memberi keutamaan kepada khidmat rakyat dan pembangunan menyeluruh di Merotai sekiranya diberi mandat.
“Insya-Allah, dengan kesepaduan tenaga, keutamaan yang kita berikan kepada khidmat rakyat dan tekad untuk membangunkan Merotai, saya optimis kemenangan akan berpihak kepada kita,” ujarnya penuh keyakinan.
Pertemuan di Merotai ini menandakan penutup kepada siri jelajah kempen pusingan pertama Saifuddin Nasution di Sabah yang turut meliputi beberapa kawasan lain di negeri itu. Beliau dijangka meneruskan kempen di lokasi-lokasi lain dalam masa terdekat menjelang hari pengundian.

