Saifuddin Nasution sokong penuh Datuk Ruji Ubi di Merotai: “Pengalaman 30 tahun beliau wajar dimanfaatkan untuk rakyat”

Merotai, 19 November 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir di N.72 Merotai, Tawau bagi menyatakan sokongan padu kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ruji Ubi yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Kredit Foto : FB rasmi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di lokasi kempen, Saifuddin Nasution menegaskan beliau sejak awal lagi menawarkan bantuan sebaik sahaja Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Datuk Ruji sebagai calon PH di kawasan tersebut.

“Sokongan saya bukan semata-mata kerana hubungan kerja kami dahulu, tetapi kerana saya tahu nilai sebenar pengalaman lebih 30 tahun beliau dalam pentadbiran negara yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk kemajuan rakyat Merotai,” tegas Saifuddin Nasution.

Kredit Foto : FB rasmi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Beliau turut memuji keputusan Datuk Ruji yang pernah berada di puncak perkhidmatan awam untuk kembali berkhidmat di tanah kelahirannya, Sabah.

“Walaupun pernah berada di puncak perkhidmatan awam negara, Datuk Ruji memilih untuk kembali berbakti di tanah kelahirannya. Pilihan itu sendiri menunjukkan jiwa seorang pemimpin rakyat yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat,” tambahnya.

Saifuddin seterusnya merayu kepada seluruh pengundi di kawasan Merotai agar memberikan peluang kepada Datuk Ruji dengan mengundi Pakatan Harapan.

“Saya merayu kepada seluruh pemilih di Merotai, berilah beliau peluang. Bersama kita jadikan Merotai salah satu kerusi Pakatan Harapan dan menjadi sebahagian daripada parti yang bakal menubuhkan Kerajaan Sabah nanti, Insya-Allah,” ujarnya.

Kehadiran Menteri Dalam Negeri dari Semenanjung ini dilihat sebagai suntikan semangat besar kepada jentera kempen PH di Merotai menjelang hari pengundian yang semakin hampir.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top