TAWAU, 19 November 2025 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, berikrar akan memperjuangkan sistem pendidikan yang lebih inklusif khususnya untuk kanak-kanak berkeperluan khas sekiranya diberi kepercayaan memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.
Janji itu diluahkan beliau selepas menziarahi seorang kanak-kanak autisme di Taman Hotspring, Tawau, pada Rabu petang.
Dalam pertemuan itu, ibu tunggal kepada kanak-kanak berkenaan berkongsi pengalaman sukar membesarkan anak sindrom autisme (ASD) serta cabaran yang dihadapi selepas anak-anak ini tamat persekolahan menengah.

“Ramai anak autisme hanya bersekolah sehingga Tingkatan 5 dan selepas itu tidak ada hala tuju yang jelas. Mereka memerlukan ruang pembelajaran kemahiran yang sesuai supaya dapat berdikari pada masa hadapan,” kata Datuk Ruji memetik luahan ibu tersebut dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri menegaskan, kawasan Merotai bukan sekadar memerlukan pembangunan infrastruktur fizikal, tetapi juga sistem pendidikan yang benar-benar merangkumi semua golongan.
“Insha Allah, jika diberi kepercayaan, saya akan memastikan anak-anak Merotai, termasuk anak istimewa, mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama,” tegasnya.
Hantaran itu telah mendapat perhatian ramai netizen yang menyokong usaha memperkasa golongan berkeperluan khas di negeri Sabah, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar seperti Merotai.
Datuk Ruji Ubi kini giat berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

